Jumaat, 31 Julai 2009

PERHATIAN TOK GURU TERHADAP MANGSA RIBUT


KETEREH, 30 Julai (Hrkh) - Mangsa-mangsa ribut di beberapa kampung di sini bernasib baik apabila nasib malang mereka mendapat perhatian segera Menteri Besar.


Sehari selepas kejadian yang mengerikan berlaku, seramai 215 mangsa ribut menerima bantuan segera daripada Tabung Serambi Mekah dianggarkan berjumlah RM105,500.


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga bertemu mangsa ribut apabila menziarahi rumah penduduk yang dilanda ribut petang semalam.


Hadir sama pada lawatan itu, anggota Exco, Dato' Husam Musa, anggota Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Kadir dan Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim..


Majlis penyampaian bantuan itu diadakan di perkarangan Masjid Kampung Buluh Poh.


Ribut kuat mulai melanda kira-kira jam 5.30 petang Selasa lalu membabitkan Kampung Lanchang, Kampung Hulu, Durian Pahit dan Buluh Poh.


Masjid tempat program berlansung juga rosak ribut apabila kubahnya turut melayang ke bawah.


Di kawasan kejadian kelihatan banyak pokok tumbang dan adanya yang menghempap rumah.


Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, angin ribut berlaku akibat pertembungan angin dari arah timur dan barat.


"Perkara ini berlaku kerana dua perkara, sama ada ia ujian daripada Allah atau pun kerana bala dariNya yang terkena kepada semua manusia termasuk mereka yang beriman.


"Kerana itu kita seharusnya sentiasa mengingati Allah, jangan melakukan perbuatan mungkar di muka bumi ini," ujarnya.


Beliau turut memohon maaf di atas kelewatannya menziarahi mangsa kerana ada tugas rasmi lain.


sumber : harakahdaily

Khamis, 30 Julai 2009

SEMUA BANGSA ADALAH SAMA...

“Cina, India dan melayu adalah adik beradik, kerana kita semua dari baka (keturunan) Adam”

“jangan sampai kita iri hati dengan orang kaya, sampai kita nak rompak dia. Kenapa kita rompak dia, sebab diakan adik beradik kita??”

”sebelum wujud Demokrasi lagi, Islam dah suruh berlaku adil. Jangan pandang bangsa, jangan pandang keluarga. Hendaklah berlaku Adil sesama manusia”

”Islam ajar ihsan; buat baik sejak 1400 tahun lalu lagi, sebelum wujud PBB lagi”.

SEJARAH PAS BERPECAH


“Hamba (Saya) antara orang yang menyokong PAS gabung dengan BN tahun 70 an dahulu. masa tu, PAS kelantan terpecah tiga; BERJASA, HAMIM dan Bebas bersatu. Masa tu, kita bersungguh nak bergabung dengan Barisan Nasional, orang kampung marah kat kita sampai berpecah tiga. Sekarang ni, dia ajak lagi. dia nak bagi PAS berpecah lagi”

“sekali boleh la kalau kena tipu. Dua kali nak tipu, tidak la”

TOK GURU SURUH PERGI DEMO GMI

>><<

Rabu, 29 Julai 2009

Hujah 'pergi jahanamlah Umno' wajar - Nik Aziz

KETEREH, 29 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menarik kenyataannya sebelum ini yang menyebut 'pergi jahanamlah dengan Umno' kerana ia dianggap wajar.
Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin Umno kelihatan kalut dengan kenyataan itu tanpa memikirkan tindakan pemimpin parti itu sendiri yang mencerminkan perkara tersebut.
"Umno langsung tidak pernah fikir ketika pemimpin parti itu memburukkan nama saya sebelum ini.
"Namun setelah pemimpin mereka ditegur sedikit riuh rendah jadinya," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 215 mangsa ribut di Kampung Buloh Poh dan Kampung Lancang petang tadi.
Umno termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin sebelum ini dilaporkan kesal dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan isu terbabit.
"Takkan saya mengeluarkan kenyataan yang agak keras tanpa sebarang sebab," ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa seorang tok guru yang bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Siapa ajar tok guru tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Allah sendiri dalam al-Quran menyumpah manusia macam binatang.
"Ada juga ayat di mana Allah mengumpamakan manusia ini pekak, tuli, buta.
"Jadi sekiranya ada orang menghina kita, kita senyap tak berbuat apa-apa itu bukan merendah diri, tetapi menghina diri sendiri," tambahnya. - mj .
sumber : harakahdaily

Utusan tarik balik berita Nik Aziz

Utusan Malaysia memohon maaf kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung beritanya bulan lalu yang menyebut menteri besar Kelantan menegaskan "nasihatnya mesti didengar" pemimpin atasan PAS.

Akhbar itu juga menarik balik sepenuhnya berita "Nasihat saya mesti didengar" yang diterbitkan pada 15 Jun lalu berhubung isu kerajaan perpaduan yang menjadi kontroversi besar dalam parti tersebut..
Pada 17 Jun, Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS menafikan laporan dan menyifatkannya "satu hasutan untuk mengajak orang ramai membencinya dan parti itu", termasuk menjelang pilihanraya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini. .
Beliau kemudian mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan..
"Saya nafikan sekeras-kerasnya, penggunaan perkataan 'mesti'... nasihat saya mesti didengar. Ini bukan watak saya, beri nasihat kepada orang lepas itu paksa orang dengar, ia telah disiar dalam Utusan Malaysia, lebih-lebih lagi selepas itu penyiaran artikel yang ditulis seseorang.
"Perkara ini saya telah serahkan kepada peguam untuk ambil tindakan, terpulang kepada peguam apa tindakan seterusnya (sama ada untuk saman)," Nik Aziz dipetik berkata.
Permohonan maaf itu diterbitkan di halaman depan Utusan Malaysia dan juga di sisi kanan laman web akhbar tersebut hari ini.
sumber : malaysiakini

Selasa, 28 Julai 2009

ADUN GALAS DAN HUKUMAN SEBAT


KOTA BHARU, 27 Julai (Hrkh) - Rakyat Kelantan diharap mendoakan kesejahteraan Adun Galas, Chek Hashim Sulaima yang kini dirawat di sebuah hospital di negara China.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Adun terbabit kini dirawat di hospital di luar negara selepas dinasihat doktor yang merawatnya sebelum ini.


"Kita semua doakan biar beliau sihat semula. Pagi Khamis lalu Adun berkenaan bertolak ke China untuk mendapat rawat lanjut," katanya di sini.


Chek Hashim disahkan mengidap kanser di sebelah paru-parunya pada Mei lalu selepas batuk berdarah. Ekoran itu beliau mendapat rawatan intensif di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.


Beliau juga menjalani rawatan kimoterapi di hospital berkenaan.


Ditanya persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Galas kata Menteri Besar, PAS sentiasa berkempen bukan hanya untuk musim pilihan raya sahaja.


"PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak pernah terhenti dan terus berjuang tanpa ada batas waktunya. PAS hanya menggunakan pentas ceramah bagi menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya.


Ditanya mengenai seorang wanita yang bersedia menerima hukuman sebat kerana kesalahan minum minuman keras beliau berkata, ia hanya berlaku selepas seseorang itu insaf segala perbuatannya.


Katanya, setiap pesalah yang sedar atau insaf seperti seorang pencuri bersedia dipotong tangannya di dunia bagi mengelakkan hukuman yang lebih berat di akhirat kelak.


"Jadi daripada kita kena bakar di akhirat kelak, lebih baik kita selesai di atas dunia lagi.


"Inilah perlunya kepada hudud, tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed tidak membenarkan Kelantan melaksanakan hukuman berkenaan," katanya.


Ketika ditanya adakah hukuman sebat yang dikenakan ke atas wanita berkenaan mengikut hukum hudud, beliau berkata itu soal kedua, namun yang lebih penting sekarang hukuman sebat memang betul mengikut landasan Islam.


Baru-baru ini seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 sanggup berdepan dengan hukuman sebat kerana kesalahannya minum minuman arak.


Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan.


sumber : harakahdaily