Khamis, 9 Julai 2009

KENALI TOK GURU NIK ABDUL AZIZ (4)


Walaupun Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, iaitu bapa kepada Tuan guru Nik Abdul Aziz merupakan salah seorang ulama yang masyhur di Kelantan ketika itu, tetapi semangatnya mahu mencari ilmu amat kuat. ekoran dari itulah, tidak hairan beliau amat setia dengan majlis-majlis ilmu yang dipimpin oleh ulama-ulama di sekitar kelantan dikala sudah bergelar Tuan Guru.

Di awal pengajian Tuan Guru Haji Nik Mat, beliau mendalami ilmu di Pondok Haji Omar Mentuan, yang kemudianya melanjutkan pengajiannya di Pondok Tok Kenali yang amat terkenal ketika itu.

Sekembalinya Tuan Guru Haji Nik Mat dari pengajiannya di Pondok Tok Kenali, beliau telah dikenali sebagai salah seorang ulama amat agrasif dan terlalu tegas dalam menentang segala amalan khurafat yang berlegar dikalangan masyarakat kelantan ketika itu.

Dengan ketegasan beliau itulah, menyebabkan Tuan Guru Haji Nik Mat ini mula dikenali dikalangan masyarakat setempat.

Walaupun beliau dikenali seorang yang tegas, tetapi beliau merupakan seorang yang mempunyai jiwa besar yang agak sukar didapati dari tuan guru-tuan guru ketika itu. ekoran dari itulah, beliau sanggup mendalami ilmu dari dua tokoh ulama yang terkenal di kelantan, iaitu Tok Khurasan dan Mufti Kelantan, Tuan Haji Wan Musa.

Maulana Tok Khurasan merupakan seorang ulama yang berasal dari Bhafar, India (kini berada dibawah Pakistan). Beliau merupakan salah seorang yang berkepakaran dalam ilmu Tafsir, Hadis dan Mantiq yang beliau dalami dari Universiti Darul Ulum Deoband, India. Menurut ceritanya, sebelum Tok khurasan datang ke Kelantan, beliau pernah menjadi Syaikhul Hadis (baca juga : Mahaguru Hadis) di Universiti Darul Ulum Deoband tersebut.

Adapun Tuan Haji Wan Musa pula, walaupun beliau memegang jawatan Mufti di Kelantan ketika itu, tetapi beliau tidak mempunyai pemikiran seperti mufti-mufti yang lain, bahkan beliau amat dikenali sebagai seorang ulama yang berfikiran progresif dan terbuka dalam menerima pendapat-pendapat ulama yang berkhilaf dalam menentukan hukum.

Dalam kesebukan menuntut ilmu dari dua tokoh ulama ini, Tuan Guru Nik Mat tidak lupa juga mendalami ilmu tasawwuf dari seorang ulama Tasawwuf yang hebat dari negeri Sudan yang dikenali sebagai Syaikh Azhari. Menurut ceritanya, Syaikh Azhari ini merupakan ulama yang pertama mencetuskan minat ulama-ulama di Kelantan membicarakan tentang tawassuf, yang sebelum ini, agak kurang berminat dibicarakan, hatta dikalangan ulama sekalipun.

Memandangkan minatnya Tuan guru Haji Nik Mat dengan ilmu Hadis, Tafsir dan ilmu Mantiq, menyebabkan Tuan Guru Haji Nik Mat ini amat rapat dengan Tok Khurasan yang mendapat pendidikan dari India.

India ketika itu, bahkan ketika ini pun, merupakan Negara yang terdapat ulama-ulama yang berkemahiran dalam bidang tafsir, Hadis dan Mantiq, menyebabkan tidak hairan Tuan Guru Haji NIkmat pernah menyatakan hasratnya kepada Tok Khurasan untuk belajar di India, tetapi tidak diizinkan oleh Tok Khurasan.

Mengenangkan beliau tidak dapat melanjutkan pengajian di India, beliau mahu anak beliau mendapat kepakaran ilmu seperti ulama-ulama dari India, iaitu ilmu Hadis, Tafsir dan Mantiq.

Ekoran dari itulah, menyebabkan beliau sering membawa anaknya yang bernama Nik Abdul Aziz ini agar bersama-sama dengan beliau menuntut ilmu dari Tok Khurasan.

Setelah itu, beliau telah menghantar anak beliau yang bernama Nik Abdul Aziz itu mendalami ilmu dari dua tokoh ulama yang mendapat pendidikan dari Universiti Darul Ulum, Deoband, India, iaitu Tuan guru Haji Abbas bin Ahmad dan Ustaz Abdullah bin Ahmad atau dikenali sebagai Ustaz Lah India di jerteh. Kedua-dua ulama ini adalah kawan rapat kepada Tuan Guru Haji Nik mat, dan kedua-duanya adalah adik beradik.

Nik Abdul Aziz merupakan anak murid yang pertama mendaftarkan diri untuk belajar di Madrasah yang diasaskan oleh kedua-dua ulama ini. Madrasah tersebut bernama Madrasah Ittifaqiiyah, yang diasaskan pada tahun 1947.

Sebelum penerimaan Nik Abdul Aziz menjadi murid di Madrasah tersebut, didahulukan ujian kelayakan. Didapati ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam ilmu Nahu bahasa Arab, yang mana, beliau sudah menghafal kitab Alfiyah dan Mutammimah.

Keistimewaan yang wujud dalam diri tuan Guru Nik Abdul Aziz ini telah diakui sendiri oleh gurunya yang bernama Tuan Guru Haji Abbas bin Ahmad, sehingga beliau pernah berkali-kali menyebut bahawa Nik Abdul Aziz mempunyai ilmu setaraf dengan ilmu ulama-ulama yang berwibawa.

Bentuk kesungguhan Tok Guru Nik Abdul Aziz mendalami ilmu dari Tok Guru Haji Abbas juga amat menakjubkan, ini kerana, Tok Guru Haji Abbas pernah menyatakan bahawa nik Abdul Aziz ini sering mempelajari ilmu mantiq dari beliau ketika beliau sedang menyangkul di bendang sawah padi.

Selang beberapa ketika mendapat pendidikan dari Tuan Guru Haji Abbas dan Ustaz Abdullah India ini, pada tahun 1952, tuan Guru nik Abdul Aziz telah dihantar sendiri oleh Ustaz Abdullah untuk dilanjutkan pengajiannya di Universiti Darul Ulum Deoband, India.

Di India, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersendirian, tetapi bersama-sama dengan beliau adalah Maulana Shuaib, iaitu Anak Tok Khurasan, yang meninggal dunia di Pesyawar, Pakistan dalam akhir tahun 1990 an.

Setelah 5 tahun berada di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berjaya menuntut ilmu hadis di sana dengan seorang mahaguru hadis yang terkenal ketika itu, iaitu Maulana Hussain Ahmad Madani, juga Maulana Mahmud Hasan dan Maulana Syaikh Ali. Pada tahun 1957 pula, beliau sempat juga pergi ke Pakistan untuk mengambil “daurah tafsir” di sana bagi mendalami ilmu Tafsir.

(Penambahan : Mahaguru Hadis dari Jamiah Farooqiyah, Karachi Pakistan, iaitu Maulana Salimullah Khan juga mempelajari hadis dari Maulana Hussain Ahmad Madani. Maulana Salimullah Khan adalah mahaguru Hadis yang mempunyai sanad yang paling tinggi pada tahun 2000, meliputi benua India, iaitu Pakistan, India dan Bangladesh. Beliau seorang yang berkepakaran dalam bidang hadis, sehinggakan menghafal Sahih Al-Bukhari yang beliau mengajar sendiri di Jamiaah Farooqiyyah tanpa melihat kitab. Keistimewaan maulana Salimullah Khan adalah, beliau menghafal Al-Quran dalam masa 30 hari sahaja, iaitu dalam bulan Ramadhan. Guru yang mentasmi’ hafalan beliau adalah Maulana Hussain Ahmad Madani sendiri.)

Setelah dari itu, Tuan guru Nik Abdul Aziz telah mendapat tawaran dari Muktamar Islam untuk melanjutkan pengajiannya di Mesir, yang ketika itu, Muktamar Islam dipimpin oleh Raja Saudi, Al-Malik Faisal dan presiden mesir, Anwar Sadat.

Di Mesir, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda (B.A) dalam bidang bahasa arab, dan Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan Islam. kejayaan itu diambil masa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama 4 tahun sahaja.

Setelah mendapat Sarjana (M.A) dalam bidang Perundangan islam, beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di peringkat diploma pula, tetapi di kala itu, Ustaz Yusuf Bakar, bekas pensyarah di Kolej islam Klang telah berjumpa dengan beliau dan ajak beliau balik ke Tanah Air.

Maka kembalilah tuan guru Nik Abdul Aziz dari perantauan pada bulan Februari 1962.
Sekian

Tiada ulasan: