Rabu, 8 Julai 2009

MB kerajaan BN terharu mendengar kaset agama Nik Aziz

KUALA KRAI, 8 Julai (Hrkh) - Kebiasaannya dalam media massa kita sering membaca kecaman keras pemimpin Umno terhadap PAS. Jarang berlaku mereka memuji dan bersetuju biar pun kebenaran berpihak kepada PAS.

Sebaliknya seorang Menteri Besar meluahkan kebenaran yang dibawa pemimpin PAS tidak dapat dinafikan lagi lebih-lebih lagi menyentuh soal agama.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ada seorang menteri besar memberitahunya sering mendengar kaset ceramah beliau.


"Menteri besar itu paling terasa dan terkesan ketika mendengar ceramah agama saya mengenai alam kubur. Apabila mati kelak, Allah akan tanya masa hidup kamu mengundi parti mana.


"Beliau meluahkan rasa terkesan yang menyentuh jiwa setelah mendengar kaset ceramah tersebut. Dia menceritakan perkara itu ketika sama-sama menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Majlis Raja-raja Melayu," katanya pada ceramah di Kampung Chuchuh Puteri A di sini, malam tadi.

Ribuan hadir mengikuti ceramah itu biar pun hujan turun agak lebat sebelum itu.
Oleh itu Menteri Besar berharap pengundi di Manek Urai dapat membuat pilihan terbaik untuk terus menyokong kepimpinan Islam sebagaimana kesedaran menteri besar BN terbabit.


"Saya penuh harap pengundi di sini dapat membuat pilihan yang terbaik. Setelah Umno kalah di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau, kenapa kita mahu pilih Umno lagi," katanya.

Pada ceramah itu beliau memberitahu telah mengirim surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak untuk mempelawa diadakan debat bagi membincangkan alasan Umno menolak Islam.


"Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, 'kenapa Umno tolak Islam? "Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam," katanya.

Turut hadir pada ceramah malam tadi Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Husam Musa, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif dan calon PAS Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah. - mj


sumber : harakahdaily

Tiada ulasan: