NAMPAKNYA Umno benar-benar gelabah dengan pelawaan debat oleh Mursyidul Am PAS. Sedangkan ia tidak lebih sebagai satu pertemuan bagi merungkaikan segala isu yang berbangkit selama ini.
Soal agama cuba diasingkan dengan politik. Itu pokok persoalan sebenarnya. Dan platform debat hanya sekadar mekanisme ke arah itu. Tidak semestinya perlu bertegang leher di atas pentas atau depan televisyen. Ia mungkin boleh jadi muzakarah atau wacana.
Biar apa pun istilah yang digunakan ternyata perkataan debat begitu mengementarkan Umno. Ini secara tidak langsung juga menggambarkan Umno tandus pemimpin yang petah berhujah untuk menegak kebenaran.
Bagi menyoroti apa rahsia di sebalik pelawaan debat itu, ikuti temu bual wakil Harakah, Mohd Nor Yahya bersama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadiri satu program di Manek Urai, Khamis lalu.
HARAKAH: Boleh dijelaskan, sebenarnya apa sebab Tok Guru mempelawa Perdana Menteri berdebat?
TOK GURU NIK ABDUL AZIZ: Masalah debat dengan Umno telah lama diusahakan. Ia bukan cerita baru. Tentunya ramai masih ingat muzakarah di antara PAS dan Umno hampir diadakan, kemudian dibatalkan dengan alasan yang mungkin sengaja diadakan.
Begitu juga dengan pelawaan kerajaan negeri terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Dato? Dr Puad Zakarshi sebelum ini hadir pada satu wacana di Balai Islam.
Pada awalnya beliau sanggup datang, namun di saat-saat akhir membatalkan. Tentunya, orang ramai boleh memberi tanggapan sendiri terhadap apa yang berlaku itu. Debat, mujadalah atau muzakarah lebih kurang sama.
Namun pemimpin Umno masih lagi berdiam diri. Mereka tak mahu langsung apabila dipelawa debat atau muzarakh bagi merungkai masalah ummah.
Mengapa agaknya setiap kali diundang, pemimpin Umno ini enggan?
Saya pun hairan mengapa mereka enggan. Tidak mahu juga. Sedangkan debat atau muzakarah sebahagian daripada mekasisme berdakwah dalam Islam. Kita mahu bagi nasihat secara hikmah.
Sama juga dengan kaedah yang digunakan kepada orang bukan Islam. Kita telah lama praktik cara itu di Kelantan. Berdakwah cara hikmat terhadap orang bukan Islam bagi mengeratkan hubungan antara kaum.
Saya sering kali hadir pada majlis-majlis yang dianjurkan penduduk bukan Islam. Apa yang menghairankan orang bukan Islam boleh menerima konsep muzakarah tetapi pemimpin Umno tidak boleh terima.
Sedangkan nasihat boleh diadakan dalam tiga keadaan iaitu lemah lembut, tolak ansur, ceramah atau usrah. Kaum-kaum bukan Islam telah berjaya kita dekati. Berdebat ini adalah cara terakhir untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul.
Dua perkara pokok yang hendak saya sebut iaitu kenapa Umno tolak Islam dan keduanya sebab apa Umno menentang PAS, sedangkan PAS melaksanakan apa yang disarankan agama Islam. Tengok apa yang kita laksanakan di Kelantan sekarang.
Mungkin ada sesuatu peristiwa yang mendorong Tok Guru pelawa Perdana Menteri berdebat?
Ianya bermula ekoran Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap saya. Mereka marah kerana saya sebut Umno lebih kurang sama dengan Ayah Pin atau Komunis. Apa yang saya maksudkan sekadar perumpamaan.
Ini kerana apabila mana-mana pihak menolak agama dalam kehidupan seharian sudah tentu mereka juga sama dengan komunis atau Ayah Pin.
Begitu juga Umno. Mereka memisahkan agama dan politik. Sedangkan ia jelas bertetangan dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Nabi juga ketua agama, pemerintah, panglima perang dan ketua negara.
Ini bermakna politik atau bernegara tidak boleh dipisahkan dengan agama. Inilah yang saya sebut pada ceramah di Laloh sebelum ini. Tiba-tiba pemuda Umno melenting marah.
Bagaimana pula dengan Pemuda PAS dikatakan akan mengadakan dialog dengan Pemuda Umno?
Saya setuju diadakan diadakan dialog atau wacana. Tidak kira dengan siapa pun asalkan Pemuda PAS kekal berpegang perjuangan Islam. Jangan pula bila berdialog kita pula turut kehendak mereka. Forum, dialog merupakan cara dakwah. Saya serahkan kepada pemuda untuk fikirkan perkara itu.
Sekarang isu yang hangat dibincangkan di Kelantan iaitu tuntutan royalti petroleum. Ia bermula ekoran pendedahan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri mengenai ada pelantar minyak di perairan Kelantan. Apa sikap Tok Guru mengenai isu ini?
Rasa rasa kecewa dengan sikap pemimpin Umno. Mereka buat tidak tahu adanya minyak di perairan negeri ini. Sepatutnya mereka turut menyokong usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi menuntut royalti tersebut yang boleh dimanfaat kepada rakyat Kelantan.
Dan segala usaha hendak mendapatkan royalti saya serahkan kepada Dato? Haji Husam untuk meneruskan langkah-langkah sepatutnya bagi mendapatkan royalti. Bagaimanapun Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Dato? Mohd Alwi Che Ahmad setuju untuk memberi kerjasama.
Saya sambut baik. Hendaklah ada usaha yang dilakukan pembangkang bagi membantu mendapatkan hak tersebut. Ini kerana laporan mengenai adanya pelantar minyak sudah ada dalam laporan Jabatan Perangkaan dan EPU.
Pada pendapat Tok Guru, bagaimana pula dengan calon PAS yang akan mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini?
Saya sebenarnya sudah lama kenal Abe Uji. Beliau orang berjurus (baik) dan kaki masjid. Ini kriteria penting untuk menjadi seorang pemimpin. Orang yang mukmin sudah tentu tidak akan terlibat dengan unsur-unsur rasuah atau apa-apa penyelewengan.
Saya yakin dengan kemampuan yang ada pada Abe Uji. Dan secara kebetulan pula calon tersebut bertepatan dengan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Orang ramai di peringkat akar umbi, cawangan PAS dan kawasan Kuala Krai yang menentukan.
Kemudian kita di peringkat Perhubungan PAS negeri membuat keputusan hasil sokongan tersebut. Biar pun pihak lawan cuba pertikaikan dari aspek pendidikan Abe Uji, namun ia tidak menjadi isu sangat.
Cuma apa yang kita hairan mengapa orang yang berpendidikan tinggi tetapi ramai yang dilaporkan terbabit dengan rasuah atau pecah amanah. - mks.
sumber : harakahdaily
sumber : Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan