Di kala Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dalam kegeringan untuk menghadapi kematian, beliau terbaring di katil istana. Keliling baginda Khalifah, dipenuhi dengan pembesar-pembesar kerajaan, termasuk yang hadir adalah Omar bin Abdul Aziz.
Omar ketika itu amat bimbang namanya dicalonkan sebagai khalifah sebagai pengganti Khalifah Sulaiman. Lantaran itu, beliau memerhatikan Roja’ bin Haywah yang merupakan penasihat utama Khalifah, sebagai isyarat agar mereka berdua boleh berbicara sebentar.
Ketika mereka berdua beredar dari berada di keliling Khalifah Sulaiman, Omar Abdul Aziz berkata, “wahai Roja’, Demi Allah, aku berpesan kepadamu atas nama Allah dan Islam, bahawa jangan sekali-kali kamu mencalonkan namaku sebagai pengganti Khalifah” Omar bin Abdul Aziz memberi pesanan.
“jawatan ini amat berat, aku tidak mampu untuk memikulnya, terutama ketika mengadap Allah SWT di akhirat nanti” sambung Omar lagi.
Roja’ memahami kebimbangan Omar itu. Dengan nada yang bersungguh, Roja’ berkata, ”Aku tidak melihat orang yang lebih layak untuk jawatan ini melainkan kamu. Apakah kamu mahu menempa dosa dengan melihat kemudharatan berlaku jika kamu tidak menerima jawatan ini?” soal Roja’ sambil mukanya merenung wajah Omar yang dilihat berpeluh didahinya.
Omar tidak mampu berkata apa-apa pun, melainkan jantungnya berdegup kuat kerana bimbang namanya dicalonkan sebagai pengganti Sulaiman bin Abdul Malik bagi jawatan Khalifah.
Kemudian Roja’ kembali semula kepada Khalifah Sulaiman yang sedang kegeringan.
”siapakah yang kamu nampak lebih layak menggantikan aku untuk jawatan Khalifah ini, Wahai Roja’?” soal Khalifah Sulaiman kepada penasihat utamanya.
”tuanku tidak perlu khawatir dan bimbang. Bertaqwalah kepada Allah. Insya Allah, Allah akan memberikan jalan yang terbaik dalam urusan ini” jawab Roja’ dengan nada yang tegas.
Dengan bibir yang kering, wajah yang pucat, Khalifah Sulaiman bertanya, ”siapakah gerangan yang kamu nampak layak wahai Roja’?”
”omar bin Abdul Aziz wahai tuanku” Roja’ melemparkan cadangan.
Dalam wajah kepucatan itu, Khalifah Sulaiman tersenyum seraya berkata, ”demi Allah, Omar terlalu layak untuk jawatan ini. pilihan itu amat tepat sekali. Pun begitu, aku berwasiat agar selepas Omar, orang yang mengambil tampuk pemerintahan ini adalah Yazid bin Abdul Malik”
”sengaja aku tidak memilih Yazid sebagai khalifah sebagai ganti aku, kerana aku bimbang keluarga Abdul Malik akan mewujudkan fitnah dalam rebutan kekuasaan ini” sambung Khalifah Sulaiman.
Wasiat ini didengari oleh ramai pembesar-pembesar kerajaan, dan ia disokong ramai tanpa sebarang bangkangan pun.
JAWATAN SATU BEBAN
Jawatan merupakan bebanan. Ia bukan kemuliaan, seperti anggapan sesetengah ahli politik yang tamak. Di zaman kini, jawatan menjadi satu rebutan. Semuanya bersebab, apabila dengan jawatan, mereka dapat mencapai kehendak nafsunya dengan jalan yang mudah.
Golongan salaf terdahulu, mereka akan menolak sebarang jawatan yang berbentuk amanah ini. pada mereka, itu semuanya merupakan kesangsaraan hidup mereka di akhirat; iaitu dikala mengadap Allah SWT.
Diceritakan bahawa ada seorang qadhi sedang menghadapi nazak kematian. Qadhi tersebut beranggapan bahawa selepas kematiannya, pasti anak lelakinya akan dilantik jawatan itu.
Qadhi itu memanggil anak lelakinya, lalu meminta agar anak lelakinya itu mencium kedua-dua belah telinganya. Apabila anaknya itu mencium, didapati telinga sebelah kanannnya berbau wangi, dan telinga sebelah kirinya berbau busuk.
Anak lelakinya itu kepelikkan, seraya bertanya, ”mengapa telinga bapa berbau wangi pada yang kanannya, dan berbau busuk pada kirinya?”
Qadhi itu menjawab, ”wahai anakku, bapa pernah melakukan satu kesilapan yang besar. Bapa pernah berhukum dalam satu kes, yang bapa hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Ekoran itulah, telinga bapa berbau busuk sebelahnya”
”wahai anakku, bapa beranggapan, bahawa selepas kamatianku, pasti kamu akan dilantik untuk jawatan yang sedang bapa pegang ini” sambungnya, ” Wahai anakku, apakah kamu mahu menerimanya?” soal Qadhi itu kepada anak lelakinya.
Anaknya itu berfikir sejenak. Dahinya berkerut. Tangannya diletakkan di dagu seakan-akan sedang berfikir dengan rasional untuk jawatan yang akan dibebankan itu.
”wahai bapaku, aku tidak sanggup menanggung bebanan yang berat ini” jawab anak lelaki itu dengan tegas.
Mendengar jawapan anaknya, Qadhi tersebut mengangguk kepalanya menandakan bersetuju.
Setelah kematian Qadhi, anak lelakinya itu kebingungan. Dia berfikir apakah cara yang paling baik untuk dia mengelakkan dirinya daripada dilantik oleh Khalifah sebagai Qadhi.
Akhirnya, anak lelaki itu telah bertindak seperti orang gila. Dia mengambil pelepah tamar, dan ditunggang pelepah itu seperti dia menunggang kuda, sambil mulutnya membunyikan suara seperti hentakan tapak kaki kuda.
Khalifah melihat keadaan anak lelaki Qadhi yang hendak digantikan bapanya. Melihat keadaan itu, Khalifah telah bertindak melantik orang lain bagi jawatan tersebut. Setelah jawatan itu dilantik kepada orang lain, barulah anak lelaki tersebut beransur-ansur mengubah daripada seperti orang gila kepada orang waras.
Kisah ini amat jelas, bagaimana golongan salaf terdahulu amat tidak meminati sebarang jawatan yang ditawarkan. Mereka tidak mahu jawatan itu, kerana mereka tahu, sebarang kesilapan dan kelalaian dalam menunaikan amanah menyebabkan mereka terbeban ketika mengadap Allah SWT nanti.
MENTERI BESAR KELANTAN
Keadaan yang agak sama juga berlaku kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz di kala beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan.
Menurut Isteri Tuan Guru, iaitu Tuan Sabariah. Sebelum Tuan Guru Nik Abdul Aziz di lantik menjadi Menteri Besar, isterinya berkali-kali bermimpi yang mengisyaratkan bahawa Tuan Guru akan dilantik menjadi Menteri besar.
”Abang, Yah bermimpi abang berjalan belakang sultan” ujar Tuan Sabariah kepada suaminya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat
Dengan nada gurauan, Tuan Guru membalas, ”oh tanda nak jadi Menteri Besar la tu”[1].
Begitujuga, Tuan Sabariah ada menyebut bahawa mimpi yang mengisyaratkan bahawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan dilantik sebagai Menteri besar itu bukan sekali, malah berulang buat kali keduanya.
”abang, Yah mimpi lagi. Bermimpi masuk dalam satu majlis makan malam. Majlis itu dihadiri oleh orang besar-besar sahaja. Dalam majlis itu, ada sultan. Dan abang duduk bersebelahan dengan Sultan” Tuan Sabariah bercerita kepada suaminya yang tersayang.
Tuan Guru Nik abdul Aziz tidak berkata apa-apa, melainkan beliau hanya tersenyum dengan cerita isterinya itu.
Ternyata, mimpi yang berulang-ulang kali itu, bukanlah sekadar mimpi, sebaliknya, ia merupakan sesuatu petanda awal atas perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri besar kelantan.
Ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah berjaya mengalahkan Barisan Nasional di Kelantan, PAS telah diamanahkan untuk melantik seorang ADUNnya untuk menjadi Menteri Besar.
PAS di semua peringkat, sama ada dari peringkat negeri, mahupun diperingkat Pusat telah bersedia untuk menabalkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri besar Kelantan.
”berat saya hendak pegang jawatan ini. Ia merupakan khizyun fi Ad-Dunya, wa an-nadamah fi Al-Akhirat, iaitu kesengsaraan di dunia, dan penyesalan di akhirat nanti” jawab Tuan Guru sebagai tanda penolakkan atas pencalonan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Pun begitu, setelah dipujuk oleh sebilangan pimpinan tertinggi PAS ketika itu, menyebabkan Tuan Guru terpaksa akur untuk menerima jawatan Menteri Besar Kelantan.
PENOLAKAN JAWATAN
Penolakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dari menerima sebarang jawatan, bukan sekadar berlaku ketika beliau dicalonkan sebagai Menteri besar Kelantan, malah beliau sendiri menolak cadangan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS kelantan sebelum berlakunya muktamar PAS pada tahun 1982.
Mencalonkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan adalah hasil keputusan mesyuarat yang dilakukan antara pimpinan tertinggi PAS yang dijalankan oleh Allahyarham Haji Hasan Ishaq.
Di peringkat awal, ternyata Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak perlantikan jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Sehinggakan, sampai satu tahap datang deligasi Dewan Pemuda PAS Kelantan, yang terdiri daripada Ustaz Abdul Halim Abdur Rahman, Haji Hashim Omar dan beberapa orang lagi berjumpa dengan beliau di Masjid Pulau melaka.
Dalam pertemuan itu, deligasi itu menerangkan dan menekankan kepada Tuan Guru tentang betapa pentingnya beliau menerima jawatan tersebut. Pun begitu, Tuan Guru tetap menolak sekeras-kerasnya, sehingga sampai satu tahap, dari kalangan yang hadir dalam pertemuan tersebut berhujjah dengan hujjah-hujjah syarie tentang kepentingan Tuan Guru menerima jawatan tersebut, kerana tiada orang lain yang lebih layak, melainkan Tuan Guru.
Dengan hujjah-hujjah syarie yang dikemukakan itulah, menyebabkan Tuan Guru berlembut dan menerima jawatan tersebut dalam berat hati, serta bertanggungjawab.
Inilah dia tokoh politik islam di malaysia yang mengkagumkan. Dengan kezuhudan dan kerendahan diri beliau daripada menerima jawatan yang berat ini, dengan itulah beliau telah mendapat bantuan dari Allah SWT untuk memimpin kerajaan negeri Kelantan dengan melaksanakan banyak kewajipan islam yang sama sekali tidak berjaya dilaksanakan di negeri-negeri yang lain di Malaysia.
Keadaan ini membenarkan sabda Nabi SAW;
لا تطلب الإمارة ، فإنك إن طلبتها فأوتيتها وكلت إليها ، وإن لم تطلبها أعنت عليها
Maksudnya;
”Jangan kamu minta jawatan. Jika kamu minta, lalu diberikan kepadaku, pasti kamu akan diwakilkan kepadamu (tanpa mendapat bantuan dari Allah). Dan jika kamu tidak meminta, lalu diberikan kepadamu, pasti kamu akan mendapat pertolongan dari Allah SWT[2]”
Sekian
Wallahu ’Alam
[1] Bidadari dari timur : 34.
[2] Al-Mukjam Al-Awsat : 7182.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan