Sabtu, 4 Julai 2009

KENALI TOK GURU NIK ABDUL AZIZ (1)

Tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, seorang ulama merangkap seorang pemimpin sebuah parti Islam yang terkenal di seluruh dunia, iaitu PAS. kekarismaan tok guru ini, agak sukar untuk dicari ganti. Kebijaksanaan dalam berpolitik, disamping ketinggian ilmu agamanya, menyebabkan beliau merupakan seorang manusia yang unik.

Jika di Iran, orang sangat mengenali seorang tokoh politik bertitle Ulama iaitu Ayatullah Al-Khumaini. Keadaan ini agak sama berlaku kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat di Malaysia dan diseluruh nusantara tanah melayu.

Tok Guru Nik Abdul Aziz yang tarikh lahirnya 10 januari 1931, dan nombor kad pengenalannya 311001-03-5161 mempunyai berbagai-bagai kelebihan yang agak kurang ada pada tokoh-tokoh ulama yang sezaman dengan beliau. kebijaksanaan beliau mematah hujjah lawan dengan bandingan-bandingan yang diberi, melunakkan hati pendengar dikala berhujjah dengan beliau.

Disamping itu juga, beliau adalah manusia yang sangat konsisten dengan agama dan dakwah. Walau di mana sahaja beliau berpidato, pasti ayat Al-Quran dan hadis Nabi menjadi “makanan” beliau, menyebabkan boleh dikatakan, kesedaran politik Islam di Malaysia, semuanya berpunca dari “aura” beliau.

Di awal beliau menjadi Menteri Besar Kelantan, banyak manusia yang ragu dengan kemampuan beliau memerintah, ekoran dengan cara berpakaian beliau. Hal ini telah dijadikan “publisiti murahan” UMNO dan Barisan Nasional untuk memburukkan PAS.

Pun begitu, setelah beliau berjaya mengemukakan banyak idea-idea baru dalam pemerintahan, beliau dilihat agak dikagumi, sehingga kewujudan beliau ditafsirkan sebagai pencorak pemikiran Islam dalam politik Malaysia kini.

Yang uniknya, keberanian beliau yang diwarisi dari datuk dan bapa beliau. Dikala parti-parti di Malaysia tidak berani mengharamkan arak dan judi, bahkan membenarkan kewujudan permis-permis ini di negeri masing-masing, ekoran bimbang kehilangan sokongan, Tok Guru Nik Abdul Aziz yang baru sahaja 2 bulan memerintah Kelantan berkeras untuk mengharamkan arak dan judi.

Apa yang lebih menarik tentang tok Guru Nik Abdul Aziz adalah, walaupun sudah menjadi Menteri Besar, beliau masih lagi dengan rutin beliau sebelum menjadi Menteri Besar, seperti memberi kuliah di Masjid Pulau Melaka dan meneruskan program-program dakwah yang dilakukan beliau sebelum itu.

Kuliah mingguan yang diadakan di masjid pulau melaka, di dewan Zulkifli Muhammad, bangunan PAS tetap diteruskan.

Kuliah beliau mendapat sambutan masyarakat setempat, dan kini sudah menjangkau di luar kelantan. semuanya berpunca dari kupasan yang diberikan oleh beliau bersifat semasa, disamping mudah difahami lantaran perumpamaan-perumpamaan yang diberikan.

Beliau berjaya “mengkelantankan” Al-Quran yang berbahasa arab itu. beliau berjaya “memasyarakatkan” Al-Quran dalam pemerintahan beliau di Kelantan.

Disamping itu juga, beliau agak berani bercerita dalam kuliah-kuliah beliau tentang penyelewengan yang ingin dilakukan oleh pihak musuh terhadap pemerintahan beliau, seperti satu kuliah tafsir beliau pada 5 julai 1991 di Dewan Zulkifli Muhammad, beliau ada menyebut satu peristiwa, dimana seorang ahli perniagaan cuba hendak memberi rasuah kepada seorang pegawai di pejabat Setiausaha Kerajaan kelantan.

Menurut Tok Guru, pegawai berkenaan telah memberitahunya bahawa seorang ahli perniagaan telah meletakkan wang tunai sebanyak RM 2,000 di atas mejanya dan terus keluar dari pejabat pegawai tersebut tanpa memberi sebarang sebab mengapa wang itu ditinggalkan.

Mendengar itu, Tok Guru memerintahkan agar pegawai tersebut mengeluarkan resit derma Tabung Serambi Makkah kepada ahli perniagaan berkenaan, dan menjadikan wang itu sebagai wang derma Tabung Serambi Makkah sahaja.

Seraya itu, Tok guru berkata;

“inilah antara cara-cara kita hendak hapuskan amalan rasuah di negeri kita”

Jika diperhatikan, apakah pendedahan sebegini sanggup dilakukan oleh menteri besar yang memerintah di negeri lain, ataupun menteri Besar Kelantan sebelum ini???

Yang lebih mengkagumkan, Tok Guru Nik Abdul Aziz tidak pernah takut untuk diwawancara oleh wartawan-wartawan dikala beliau melakukan sesuatu perubahan baru dalam kerajaan, walaupun disebalik wawancara itu, pasti akan wujud soalan-soalan ”tembak maut”, juga kenyataan beliau akan diputar belit.

Hal ini terbukti dikala Tok Guru Nik Abdul Aziz di wawancara oleh akhbar kumpulan Utusan Melayu yang diwakili oleh Cik Rosnah Majid yang sangat masyhur memutar belitkan kenyataan.

Melihat keberanian tok Guru dalam menegakkan keadilan dan kebenaran, tok guru bersedia diwawancara sehinggakan wawancara itu disiarkan dalam utusan Malaysia dan utusan Melayu ketika itu selama dua hari berturut-turut.

Yang lebih menarik, pihak akhbar kumpulan Utusan itu terpaksa mendedahkan wawancara itu secara telus, lantaran hujjah yang diberikan oleh Tok Guru terlalu jelas dan padat.

Tok Guru Nik Abdul Aziz telah memberikan satu gambaran baru dalam dunia politik dan dunia ulama di Malaysia. Dikala rata-rata rakyat malaysia menganggap ulama hanya ditugaskan sebagai pembaca doa dalam majlis-majlis kerajaan, tetapi kini, tok guru telah memberikan satu suasana baru, bahawa ulama bukan sekadar pembaca doa, tetapi adalah pemerintah yang layak memerintah berbanding dengan mereka yang memakai bush jacket dan pakaian-pakaian mahal.

sekian


Wallahu 'Alam

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam

Tanpa Nama berkata...

perkembangan yang bagus

teruskan usaha saudara membongkar rahsia pemikiran tok guru

wan ziarahsufi