Rabu, 8 Julai 2009

MB kerajaan BN terharu mendengar kaset agama Nik Aziz

KUALA KRAI, 8 Julai (Hrkh) - Kebiasaannya dalam media massa kita sering membaca kecaman keras pemimpin Umno terhadap PAS. Jarang berlaku mereka memuji dan bersetuju biar pun kebenaran berpihak kepada PAS.

Sebaliknya seorang Menteri Besar meluahkan kebenaran yang dibawa pemimpin PAS tidak dapat dinafikan lagi lebih-lebih lagi menyentuh soal agama.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ada seorang menteri besar memberitahunya sering mendengar kaset ceramah beliau.


"Menteri besar itu paling terasa dan terkesan ketika mendengar ceramah agama saya mengenai alam kubur. Apabila mati kelak, Allah akan tanya masa hidup kamu mengundi parti mana.


"Beliau meluahkan rasa terkesan yang menyentuh jiwa setelah mendengar kaset ceramah tersebut. Dia menceritakan perkara itu ketika sama-sama menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Majlis Raja-raja Melayu," katanya pada ceramah di Kampung Chuchuh Puteri A di sini, malam tadi.

Ribuan hadir mengikuti ceramah itu biar pun hujan turun agak lebat sebelum itu.
Oleh itu Menteri Besar berharap pengundi di Manek Urai dapat membuat pilihan terbaik untuk terus menyokong kepimpinan Islam sebagaimana kesedaran menteri besar BN terbabit.


"Saya penuh harap pengundi di sini dapat membuat pilihan yang terbaik. Setelah Umno kalah di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau, kenapa kita mahu pilih Umno lagi," katanya.

Pada ceramah itu beliau memberitahu telah mengirim surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak untuk mempelawa diadakan debat bagi membincangkan alasan Umno menolak Islam.


"Saya telah mengirim surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, 'kenapa Umno tolak Islam? "Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam. Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam," katanya.

Turut hadir pada ceramah malam tadi Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Husam Musa, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif dan calon PAS Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah. - mj


sumber : harakahdaily

Selasa, 7 Julai 2009

Nik Aziz banding Umno dengan Ayah Pin, al-Arqam - Malaysiakini

Umno terus menjadi sasaran Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dalam ceramahnya di Manek Urai malam tadi, mursyidul am PAS itu membandingkan pula Umno dengan Ayah Pin dan pertubuhan yang diharamkan, al-Arqam.
"Tok Ayah Pin dicap sesat. Habis kenapa Umno tidak sesat? Sama-sama tidak kenal agama belaka. Al-Arqam sesat kerana apa? Salah akidahnya. Ayah Pin sesat, kenapa? Salah akidahnya."Umno kenapa tidak sesat lagi? Salah juga akidah. Tolak Islam, ambil (fahaman) kebangsaan. Tak usah kata kami terima Islam, kami terima Islam. Tak payah cakap banyak, aku reti juga," katanya dalam ceramah di Chuchoh Puteri, Manek Urai malam tadi.
Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas perkataan "sesat" dalam surah al-Fatihah. Dalam surah tersebut, Allah berfirman, antaranya, memerintahkan manusia mengikut jalan yang lurus dan bukan jalan orang yang sesat.
Pada 25 Jun lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz yang didakwanya menyamakan parti Melayu itu dengan ajaran sesat dan komunis dalam sebuah ceramahnya.Bercakap kepada media, Anuar juga dilaporkan menggesa Nik Aziz disiasat polis di bawah Akta Hasutan dan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA).
Bercakap di hadapan 2,000 penyokong dalam keadaan hujan renyai-renyai, Nik Aziz sekali lagi menggesa Umno menukar dasar kebangsaan yang didakwanya diamalkan parti itu, kepada dasar Islam.
Nik Aziz juga mendakwa Umno telah melepas geram kepadanya dengan menyifatkannya "nyanyuk" tetapi tidak memberikan hujah balasnya.
"Dia (Umno ) marah kita macam-macam perkara, Nik Aziz ini nyanyuklah. (Mereka) main kata. (Kata) nyanyuk. Itu bukan jawab, (itu) hendak pelepas geram, hendak pelepas geram orang kata..."Lepas geram ni tak payah. Lepas geram ini tanda orang lemah. Macam bini tua dengan bini muda, (kena) tampar. Sebab dia tua, marah bini muda. Perangai orang tua nak balas, panas sangat dengan bini muda," katanya.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa turut hadir dan berucap dalam majlis ceramah itu.

sumber : malaysiakini

Umno gelabah isu debat - Nik Aziz - harakahdaily

NAMPAKNYA Umno benar-benar gelabah dengan pelawaan debat oleh Mursyidul Am PAS. Sedangkan ia tidak lebih sebagai satu pertemuan bagi merungkaikan segala isu yang berbangkit selama ini.

Soal agama cuba diasingkan dengan politik. Itu pokok persoalan sebenarnya. Dan platform debat hanya sekadar mekanisme ke arah itu. Tidak semestinya perlu bertegang leher di atas pentas atau depan televisyen. Ia mungkin boleh jadi muzakarah atau wacana.
Biar apa pun istilah yang digunakan ternyata perkataan debat begitu mengementarkan Umno. Ini secara tidak langsung juga menggambarkan Umno tandus pemimpin yang petah berhujah untuk menegak kebenaran.
Bagi menyoroti apa rahsia di sebalik pelawaan debat itu, ikuti temu bual wakil Harakah, Mohd Nor Yahya bersama Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menghadiri satu program di Manek Urai, Khamis lalu.
HARAKAH: Boleh dijelaskan, sebenarnya apa sebab Tok Guru mempelawa Perdana Menteri berdebat?
TOK GURU NIK ABDUL AZIZ: Masalah debat dengan Umno telah lama diusahakan. Ia bukan cerita baru. Tentunya ramai masih ingat muzakarah di antara PAS dan Umno hampir diadakan, kemudian dibatalkan dengan alasan yang mungkin sengaja diadakan.
Begitu juga dengan pelawaan kerajaan negeri terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Dato? Dr Puad Zakarshi sebelum ini hadir pada satu wacana di Balai Islam.
Pada awalnya beliau sanggup datang, namun di saat-saat akhir membatalkan. Tentunya, orang ramai boleh memberi tanggapan sendiri terhadap apa yang berlaku itu. Debat, mujadalah atau muzakarah lebih kurang sama.
Namun pemimpin Umno masih lagi berdiam diri. Mereka tak mahu langsung apabila dipelawa debat atau muzarakh bagi merungkai masalah ummah.
Mengapa agaknya setiap kali diundang, pemimpin Umno ini enggan?
Saya pun hairan mengapa mereka enggan. Tidak mahu juga. Sedangkan debat atau muzakarah sebahagian daripada mekasisme berdakwah dalam Islam. Kita mahu bagi nasihat secara hikmah.
Sama juga dengan kaedah yang digunakan kepada orang bukan Islam. Kita telah lama praktik cara itu di Kelantan. Berdakwah cara hikmat terhadap orang bukan Islam bagi mengeratkan hubungan antara kaum.
Saya sering kali hadir pada majlis-majlis yang dianjurkan penduduk bukan Islam. Apa yang menghairankan orang bukan Islam boleh menerima konsep muzakarah tetapi pemimpin Umno tidak boleh terima.
Sedangkan nasihat boleh diadakan dalam tiga keadaan iaitu lemah lembut, tolak ansur, ceramah atau usrah. Kaum-kaum bukan Islam telah berjaya kita dekati. Berdebat ini adalah cara terakhir untuk menyelesaikan sesuatu isu yang timbul.
Dua perkara pokok yang hendak saya sebut iaitu kenapa Umno tolak Islam dan keduanya sebab apa Umno menentang PAS, sedangkan PAS melaksanakan apa yang disarankan agama Islam. Tengok apa yang kita laksanakan di Kelantan sekarang.
Mungkin ada sesuatu peristiwa yang mendorong Tok Guru pelawa Perdana Menteri berdebat?
Ianya bermula ekoran Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap saya. Mereka marah kerana saya sebut Umno lebih kurang sama dengan Ayah Pin atau Komunis. Apa yang saya maksudkan sekadar perumpamaan.
Ini kerana apabila mana-mana pihak menolak agama dalam kehidupan seharian sudah tentu mereka juga sama dengan komunis atau Ayah Pin.
Begitu juga Umno. Mereka memisahkan agama dan politik. Sedangkan ia jelas bertetangan dengan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad saw. Nabi juga ketua agama, pemerintah, panglima perang dan ketua negara.
Ini bermakna politik atau bernegara tidak boleh dipisahkan dengan agama. Inilah yang saya sebut pada ceramah di Laloh sebelum ini. Tiba-tiba pemuda Umno melenting marah.
Bagaimana pula dengan Pemuda PAS dikatakan akan mengadakan dialog dengan Pemuda Umno?
Saya setuju diadakan diadakan dialog atau wacana. Tidak kira dengan siapa pun asalkan Pemuda PAS kekal berpegang perjuangan Islam. Jangan pula bila berdialog kita pula turut kehendak mereka. Forum, dialog merupakan cara dakwah. Saya serahkan kepada pemuda untuk fikirkan perkara itu.
Sekarang isu yang hangat dibincangkan di Kelantan iaitu tuntutan royalti petroleum. Ia bermula ekoran pendedahan oleh Jabatan Perangkaan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri mengenai ada pelantar minyak di perairan Kelantan. Apa sikap Tok Guru mengenai isu ini?
Rasa rasa kecewa dengan sikap pemimpin Umno. Mereka buat tidak tahu adanya minyak di perairan negeri ini. Sepatutnya mereka turut menyokong usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi menuntut royalti tersebut yang boleh dimanfaat kepada rakyat Kelantan.
Dan segala usaha hendak mendapatkan royalti saya serahkan kepada Dato? Haji Husam untuk meneruskan langkah-langkah sepatutnya bagi mendapatkan royalti. Bagaimanapun Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Dato? Mohd Alwi Che Ahmad setuju untuk memberi kerjasama.
Saya sambut baik. Hendaklah ada usaha yang dilakukan pembangkang bagi membantu mendapatkan hak tersebut. Ini kerana laporan mengenai adanya pelantar minyak sudah ada dalam laporan Jabatan Perangkaan dan EPU.
Pada pendapat Tok Guru, bagaimana pula dengan calon PAS yang akan mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini?
Saya sebenarnya sudah lama kenal Abe Uji. Beliau orang berjurus (baik) dan kaki masjid. Ini kriteria penting untuk menjadi seorang pemimpin. Orang yang mukmin sudah tentu tidak akan terlibat dengan unsur-unsur rasuah atau apa-apa penyelewengan.

Saya yakin dengan kemampuan yang ada pada Abe Uji. Dan secara kebetulan pula calon tersebut bertepatan dengan kriteria-kriteria yang ditetapkan. Orang ramai di peringkat akar umbi, cawangan PAS dan kawasan Kuala Krai yang menentukan.
Kemudian kita di peringkat Perhubungan PAS negeri membuat keputusan hasil sokongan tersebut. Biar pun pihak lawan cuba pertikaikan dari aspek pendidikan Abe Uji, namun ia tidak menjadi isu sangat.
Cuma apa yang kita hairan mengapa orang yang berpendidikan tinggi tetapi ramai yang dilaporkan terbabit dengan rasuah atau pecah amanah. - mks.



sumber : harakahdaily

sumber : Harakahdaily

PM tidak jawab surat, rakyat keliru perjuangan Umno - Nik Aziz - harakahdaily


KOTA BHARU, 7 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mahu bersangka baik terhadap Dato' Seri Najib Razak yang belum menjawab surat pelawaannya untuk berdebat secara terbuka berkaitan perjuangan parti itu.


Menteri Besar berkata, walaupun surat yang dihantar pada 2 Julai lalu belum dijawab Perdana Menteri, namun beliau masih bersangka baik.


Beliau diminta mengulas kenyataan Najib yang tidak berminat untuk berdebat dengan pemimpin PAS.

Perdana Menteri semalam dilaporkan berkata, beliau tidak setuju dengan cara PAS yang suka memberi gambaran negatif terhadap Umno dan BN.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS bagaimanapun bertegas mahu debat diadakan kerana ia dapat menghuraikan segala permasaalahan terutama kekeliruan berlaku berhubung perjuangan Umno yang tersasar daripada kehendak Islam.

"Kerajaan Barisan Nasional mengutuk 'Ayah pin', Al-Arqam kerana ingin mengelakkan rakyat terlibat dengan perkara yang salah.

"Sekarang orang Islam sendiri menolak dasar Islam. Kita orang Islam ni wajib bersaksikan tiada Tuhan melainkan Allah, tapi malangnya, di samping kita ?bersaksi? kita tolak al-Quran dan mengambilnya hanya separuh-separuh," ujarnya.

Menurutnya juga Islam menganjurkan tiga cara menyeru manusia kembali kepada ajaran Islam iaitu mengajak dengan cara ?bilhikmah? seperti yang dibuat di Kelantan.

"Ketiga-tiganya saya dah buat, selesai dah kerja saya, bila Allah tanya saya kenapa kamu tak 'wajadilhum', saya akan menjawab nanti sudah menghantar surat, tetapi dia tak mahu, selesai dah kerja saya.

"Kita bersangka baik, dia tak jawab lagi, kalau dia tak nak jawab pun itu hak dia, waktu PAS minta lesen untuk mengadakan stesen radio sendiri daripada bekas Menteri Penerangan dahulu, Dato' Mohammad Rahmat langsung tak jawab surat kita.

"Ini bukan taraf kerajaan sebenarnya apabila enggan membalas surat, tetapi taraf gerombolan. Begitu juga hal sekarang ini tak jawab lagi, tapi saya masih bersangka baik, surat saya baru ni masih belum dijawab, saya ambil sikap positif dan bersangka baik," ujarnya.

Bagaimanapun tambahnya, sekiranya Perdana Menteri menolak berdebat sebagaimana yang dicadangkan, itu terpulang kepadanya.

Kata beliau mereka seperti berjalan dalam gelap kerana tidak menggunakan lampu yang diberi orang lain.

Sementara itu dalam perkembangan lain Menteri Besar mendesak kerajaan supaya memansuhkan Akta ISA seperti dilakukan Amerika yang menutup penjara Abu Gharib di Guantanamo Bay.

Menurut beliau Presiden Amerika, Barack Obama tidak sekejam Gorge Bush kerana mahu menutup penjara tersebut.

Begitu juga seharusnya dilakukan kerajaan Barisan Nasional perlu menghapuskan akta ISA.
Baru-baru ini beliau menerima kunjungan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh di pejabatnya.

Oleh itu kata beliau bagi mengelakkan jenayah terus meningkat, kerajaan perlu meminda undang-undang jenayah yang lebih ketat dan bukannya menggunakan ISA sewenang-wenangnya.

Syed Ibrahim berkata,, sudah sampai masanya kerajaan mendengar rintihan rakyat khususnya keluarga mangsa tahanan ISA supaya menghapuskan akta tersebut.

"Sehubungan itu saya menyeru rakyat supaya datang berhimpun pada 1 Ogos ini untuk menyatakan pendirian terhadap akta yang zalim itu," ujarnya. - mj


sumber : harakahdaily

Tak apa kalau Najib tak mahu jumpa - Nik Aziz - Mstar


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang menolak pelawaannya untuk mengadakan pertemuan dan debat secara terbuka antara PAS-Umno.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata terpulang kepada Najib sama ada ingin menerima atau tidak pelawaannya kerana bagi beliau, tugasnya untuk mengajak seseorang mencari jalan kebenaran atau pendakwah dianggap sudah selesai.

"Tugas saya sebagai seorang pendakwah ada tiga cara; pertama: ajak manusia dengan cara bilhikmah (kebijaksanaan), macam saya mentadbir sesebuah negeri mengikut cara Islam; kedua dengan nasihat, melalui ceramah, usrah, kuliyah, siaran internet dan yang terakhir ialah secara mujadalah (debat), Kalau tak mahu tak apa, selesai dah kerja saya," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, ketika diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz untuk bertemu beliau bagi membincangkan mengenai perdebatan yang dicadangkan antara kedua-dua mereka, Najib berkata: "Saya dah kata, debat tidak ada gunanya dan semua orang pun kata demikian.
"Kalau nak bertemu, jangan kutuk dulu, ini tidak timbulkan suasana kondusif untuk kita bertemu," kata Perdana Menteri.

Nik Abdul Aziz telah mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.

Nik Abdul Aziz berkata beliau masih beranggapan baik kepada Perdana Menteri yang belum menghantar surat jawapan rasmi menolak tawaran itu.

"Setakat ini, beliau (Najib) belum menjawab lagi melalui surat rasmi, saya buat sangkaan baik, mungkin dia (Najib) tak sempat nak hantar lagi," katanya. BERNAMA

Sumber : Mstar

Isnin, 6 Julai 2009

KENALI TOK GURU NIK ABDUL AZIZ (3)


Factor yang paling penting dalam menentukan peribadi tok Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat adalah bapanya yang bernama Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar, atau lebih dikenali “Tok Guru Haji Nik Mat Alim”.

Tuan Guru Haji Nik Mat Alim merupakan antara ulama-ulama di kelantan yang agak agrasif dalam perjuangan beliau membenteras amalan khurafat dan bidaah yang berleluasa di kalangan rakyat Kelantan ketika itu.

Antara amalan khurafat dan bidaah yang diserang oleh Tuan Guru Haji Nik Mat Alim adalah, sembah Pantai, berlaga ayam, makan kenduri arwah yang membebankan keluarga si mati dan sebagainya.

Menariknya, perjuangan yang dilakukan tuan guru Haji Nik Mat Alim ini tidak membuahkan hasil pada ketika beliau hidup, tetapi berjaya di hapuskan di zaman anaknya, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi ulama dan ahli politik di kelantan.

Tuan Guru Haji Nik mat Alim ini, mempunyai perangai yang diwarisi dari bapanya, iaitu raja Banjar yang sangat masyhur sebagai garang atau dalam dialek kelantannya disebut sebagai “perongos”. Cumanya, Raja Banjar, iaitu bapa kepada Tuan guru Haji Nik Mat ini perongos dalam perkara-perkara yang kurang berfaedah, berbanding anaknya yang perongos dalam perkara-perkara yang melibatkan agama.

Diceritakan bahawa Raja Banjar mempunyai beberapa orang anak lelaki, tetapi hanya Tuan guru Haji Nikmat sahaja yang mendapat pendidikan agama. Itupun atas daya usaha Tuan Guru Nik Mat sendiri. Walaupun anaknya bergelar “tok lebai” dalam kampung, tetapi disebabkan kegarangan Raja Banjar, beliau membela seekor ayam laga tanpa mengendahkan “kelebaian” anak lelakinya yang bernama Nikmat itu.

Tindakan Raja Banjar yang menyimpan ayam laga itu, menyebabkan Tuan Guru Haji Nikmat tidak senang duduk, menyebabkan suatu hari, beliau telah mengambil ayam laga bapanya itu, disembelih dan dijadikan makanan malam tanpa pengetahuan si bapa.

Menyedari tindakan itu, menyebabkan Raja Banjar marah, tetapi tidak dapat melakukan apa-apa tindakan pun terhadap anaknya yang bernama Nikmat Alim tersebut.

Dari kejadian itulah, menyebabkan rata-rata masyarakat sekitar Pulau melaka dan kedai lalat menganggap bahawa Tuan guru Nik Mat merupakan seorang yang amat tegas dengan agama, sehingga tidak menghiraukan sebarang kemungkinan buruk yang akan menimpa dirinya, ekoran dari tindakannya yang menghalang sebarang maksiat dalam kampungnya.

Dengan ketegasan inilah, menyebabkan beliau berjaya mendidik anak-anaknya dengan didikan agama, termasuk Nik Abdul Aziz yang kini adalah seorang ulama tersohor, dan seorang menteri besar yang disayangi rakyat Malaysia dan pejuang-pejuang Islam.

Menurut cerita, Al-marhum Tuan Guru Haji Nik Mat ini amat tegas dengan jadual anak-anaknya, sehinggakan mewajibkan kepada semua anak-anaknya bangun pagi seawal 4 pagi untuk menghafal Al-Quran. Selepas menghafal Al-Quran, dipaksa anak-anaknya mengulangkaji pengajian dan menghafal ilmu nahu dan sorof.

Disebelah petangnya pula, diwajibkan kepada anak-anaknya mempelajari ilmu tajwid dan membaca Al-Quran. Disebelah magribnya pula, anak-anaknya akan mengikuti pengajian ilmu Tafsir dan Hadis di pondok Pulau melaka yang diasaskan oleh beliau sendiri.

Disiplin bentuk ini merupakan jadual harian bagi keluarga nik Abdul Aziz yang telah ditetapkan oleh bapanya, sehinggakan mana-mana dari kalangan anak-anaknya yang langgar jadual ini, sudah pasti akan dikenakan hukuman.

Disamping itu juga, Nik Mat tidak sekadar memberikan ilmu agama sahaja kepada anak-anaknya, bahkan sangat-sangat menggalakan anak-anaknya bercucuk tanam, sehinggakan sanggup memberi hadiah sebanyak 50 sen kepada setiap anak-anaknya yang berjaya menggali lubang untuk menanam sebatang pokok rambutan.

TAWADU’ DENGAN ILMU

Tok Guru Nik Mat Alim adalah manusia yang sangat tawadu’ dengan ilmu. Ekoran sikapnya sedemikianlah, menyebabkan beliau tidak pernah puas-puas menuntut ilmu, walaupun ketika itu beliau sudah ditabalkan salah seorang alim ulama di kelantan.

Memandangkan sikap beliau begitu, menyebabkan beliau menjadi salah seorang anak murid kepada seorang ulama dari India yang bernama Tok Khurasan. Tok Khurasan merupakan seorang ulama dari Negara India, yang mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu Hadis yang didalaminya dari sebuah universiti Islam di India yang amat terkenal, iaitu Darul Ulum Deoband.

Pernah suatu hari, Tuan guru Haji Nik Mat bertanya pandangan kepada Tok Khurasan untuk menjual sebidang tanahnya di rantau Panjang untuk mendapatkan wang demi mahu melanjutkan pengajiannya ke India, tetapi tok Khurasan menghalangnya disebabkan bimbang Tuan Guru Haji Nik mat akan menjadi papa jika dia melakukan sedemikian.

Ketawadu’kan tuan Guru Haji Nik Mat ini bertambah terserlah, apabila beliau sering membawa dua orang anaknya dan seorang menantunya untuk sama-sama mempelajari ilmu Hadis dari Tok Khurasan di masjid Kampung Sirih, Kota Bharu.

Dua orang anaknya itu adalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan nik Zainab yang merupakan kakak sulung tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dan menantunya itu adalah Nik Amat, merupakan suami kepada Nik Zainab.

Walaupun Tuan Guru NIk Mat ini adalah seorang yang bergelar ulama, tetapi sanggup menadah kitab bersama-sama anak-anaknya untuk mendengar tunjuk ajar dari ulama India itu.



Mauizah: Cemar hati hanya bersih dengan agama Allah SWT


Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.


Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah An-Nisa ayat 29)

Terdapat dua hukum dalam satu ayat; pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain.

Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh.

Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya.

Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.

Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.

Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.

Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran 'berkat', ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.

Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.

Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.

Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein.

Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.

Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu.

Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya.

Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.

Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.

Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.

Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.

Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.

Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT. - lanh _