Selasa, 28 Julai 2009

ADUN GALAS DAN HUKUMAN SEBAT


KOTA BHARU, 27 Julai (Hrkh) - Rakyat Kelantan diharap mendoakan kesejahteraan Adun Galas, Chek Hashim Sulaima yang kini dirawat di sebuah hospital di negara China.


Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Adun terbabit kini dirawat di hospital di luar negara selepas dinasihat doktor yang merawatnya sebelum ini.


"Kita semua doakan biar beliau sihat semula. Pagi Khamis lalu Adun berkenaan bertolak ke China untuk mendapat rawat lanjut," katanya di sini.


Chek Hashim disahkan mengidap kanser di sebelah paru-parunya pada Mei lalu selepas batuk berdarah. Ekoran itu beliau mendapat rawatan intensif di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.


Beliau juga menjalani rawatan kimoterapi di hospital berkenaan.


Ditanya persiapan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Galas kata Menteri Besar, PAS sentiasa berkempen bukan hanya untuk musim pilihan raya sahaja.


"PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak pernah terhenti dan terus berjuang tanpa ada batas waktunya. PAS hanya menggunakan pentas ceramah bagi menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya.


Ditanya mengenai seorang wanita yang bersedia menerima hukuman sebat kerana kesalahan minum minuman keras beliau berkata, ia hanya berlaku selepas seseorang itu insaf segala perbuatannya.


Katanya, setiap pesalah yang sedar atau insaf seperti seorang pencuri bersedia dipotong tangannya di dunia bagi mengelakkan hukuman yang lebih berat di akhirat kelak.


"Jadi daripada kita kena bakar di akhirat kelak, lebih baik kita selesai di atas dunia lagi.


"Inilah perlunya kepada hudud, tetapi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed tidak membenarkan Kelantan melaksanakan hukuman berkenaan," katanya.


Ketika ditanya adakah hukuman sebat yang dikenakan ke atas wanita berkenaan mengikut hukum hudud, beliau berkata itu soal kedua, namun yang lebih penting sekarang hukuman sebat memang betul mengikut landasan Islam.


Baru-baru ini seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno, 32 sanggup berdepan dengan hukuman sebat kerana kesalahannya minum minuman arak.


Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan.


sumber : harakahdaily

Tiada ulasan: