Rabu, 22 Julai 2009

Warkah Takziah Teoh Beng Hock

Ibu bapa kepadaMendiang Teoh Beng Hock
D/a Pejabat YAB Menteri Besar Selangor
Tingkat 21, Bangunan SSAAS40502 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan.
Warkah Takziah
Saya cukup tergamam apabila menerima berita penuh misteri di hari pemergian mendiang Teoh Beng Hock pada awal petang 16 Julai 2009. Lebih tragik apabila bencana yang menimpa mendiang, berlaku sewaktu beliau sedang menjadi tetamu kepada SPRM; ketika beliau sedang memberikan kerjasama ke atas sebuah kes dalam siasatan.
Dalam Islam, tidak syak lagi tetamu wajib dihormati, bahkan dilindungi. Tidak boleh sekali-kali timbul sebarang syak akan status keselamatan tetamu dalam apa jua keadaan kerana sebaik-baik tetamu diterima sebagai tetamu maka Islam secara otomatik mewajibkan jaminan perlindungan diberi oleh tuan rumah. Jaminan perlindungan ini meliputi soal maruah, air muka, keturunan, harta benda dan nyawa. Ini soal hak asasi yang dijamin oleh Islam. Ini konsepnya.
Bagaimanapun, apa yang berlaku di Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis yang sugul itu cukup-cukup membuatkan saya menjadi terkejut. Hati saya sebak, enggan menerima dan tidak dapat menahan kesedihan. Saya sungguh-sungguh tidak dapat membayangkan bagaimana ini semua boleh terjadi. Saya cukup yakin, untuk dilantik ke jawatan Setiausaha Politik, sudah tentu mendiang adalah seorang yang terdidik, telah melalui liku-liku pengalaman, dan terdedah dengan pelbagai rancah kehidupan. Bukan senang untuk melahirkan satu-satu bakat, kebolehan dan ketokohan.
Kepada kedua ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mendiang, saya mohonlah berpesan supaya teruskan bersabar. Tabahkan hati sewaktu mengharungi ujian yang segenting ini. Di sisi Islam, jika Allah menguji kita dengan sesuatu musibah nescaya di sana akan ada kebaikan yang akan menanti kita. Terus bersangka baiklah. Sementara menantikan sebuah Suruhanjaya Bebas di Raja yang perlu di lantik dalam tempoh terdekat, izinkan saya mengangkat sekawat nota takziah buat Tuan , Puan serta seluruh ahli keluarga. Insya-Allah, kita akan dapat mengetahui punca sebenar yang telah meragut nyawa mendiang melalui siasatan yang sehabis telus dengan pembentukan Suruhanjaya yang sangat diperlukan ketika ini. Jika dalam banyak hal kita sering bercakap tentang integriti dan ketelusan , maka inilah ketika untuk membuktikannya.
Dari siasatan Suruhanjaya itu, rakyat berhak untuk mendapat maklumat penuh tentang apa yang sebenarnya telah terjadi. Sudah tentu andaian-andaian longgar yang sekadar mengesahkan, “mendiang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi” tidak boleh diterima. Saya berharap, jangan ada satupun fakta biarpun sejarum patah, yang sengaja ditinggalkan di dalam peti siasatan sewaktu mengendalikan pos mortem ke atas tragedi ini.
Dalam hal ini, semua pihak harus sedar bahawa melakukan siasatan dan bercakap benar adalah menjadi kewajipan. Jika tidak, di akhirat kelak, dari segi Islam semua orang akan tetap diheret juga untuk dipaksa bercakap benar.Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,“pada hari (itu) dibukakan segala rahsia. Maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu satu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong”- [ on the day when men’s consciences are searched (for belief, intention etc.) (at the moment) men shall have no power (to defend himself) and no helper.”] - ( Surah Ath Thaariq : Ayat 9 dan 10).
Sementara itu, teruskan bersabar dan kuatkanlah kesabaran.
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS merangkapMenteri Besar Kelantan
sumber : khalidsamad

Tiada ulasan: