Khamis, 9 Julai 2009

Nik Aziz tak faham makna 'kebangsaan'? - dinsman


Cadangan dan undangan Tok Guru Nik Aziz untuk berdebat dengan Perdana Menteri Malaysia mengenai Islam itu sebenarnya bukanlah satu perkara baru yang ditimbulkan-nya secara tiba-tiba menjelang pilihan raya kecil Manek Urai, untuk tujuan politik. Tidak.


Bagi mereka yang rajin mengikuti setiap perkembangan dalam kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, ini adalah suatu kemuncak kepada serentetan hujah dalam perjalanan dakwah beliau, khasnya sejak memegang jawataan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.


Kita tentu mudah ingat yang Tok Guru Nik Aziz pernah menyatakan bahawa PAS sanggup membubarkan partinya sekiranya Umno komited dengan perjuangan Islam dan melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran negara. Kenapa saya katakan kita mudah ingat? Sebab Tok Guru Nik Aziz bukan sekali menyatakan demikian, tetapi berulang-ulang kali.

Hairannya ketika Nik Aziz menyatakan demikian, walaupun berulang-ulang kali, ia tidak pernah menarik minat pimpinan Umno untuk memberi reaksi atau respons kepada kenyataan tersebut. Walhal kenyataan itu cukup provokatif.

Provokatif kerana, pertama, Nik Aziz sebagai pimpinan tertinggi PAS menyatakan kesediaan untuk membubarkan parti PAS. Kedua, kenyataan itu menegaskan yang Umno bukan parti yang berjuang untuk Islam. Ketiga, kenyataan itu juga memberi implikasi makna yang dakwaan pimpinan Umno mengatakan mereka berjuang untuk Islam itu adalah dusta semata-mata.

Begitu pun implikasi maknanya, namun pimpinan Umno tidak pernah peduli. Mereka tak pernah memberi respons kepada kenyataan Nik Aziz itu. Mereka memang tidak serius dengan Islam. Mereka hanya berminat (dan serius) dengan Islam apabila mereka dapati ada bahagian-bahagian tertentu dalam Islam itu yang boleh membantu agenda mereka.

Ternyata Islam bukanlah agenda Umno. Islam hanyalah alat atau bahan penting yang mereka pergunakan untuk membantu mereka mencapai sesuatu agenda lain.

Itulah hakikatnya Umno. (Saya pernah menganalisisi perkara ini dalam buku "Mahathir (Ekonomi) Perang 'Aqidah", 1999). Tetapi pimpinan Umno tak akan mengakui hakikat ini, kerana mereka tahu sentimen orang Melayu. Orang Melayu pasti akan menolak Umno sekiranya mereka tahu yang dakwaan Umno berjuang untuk Islam itu semata-mata dusta. Tetapi itulah hakikatnya.

Hakikatnya ialah sama ada Umno berdusta, ataupun memang pimpinan Umno tidak memahami Islam sebenar, atau mereka tidak komited dengan akidah Islam.

Apabila Nik Aziz mengatakan Umno menolak Islam kerana Umno menerima 'kebangsaan' atau 'nasionalisme' sebagai ideologi, ramai orang tidak mengerti maksud sebenar Nik Aziz. Saya pun pada mulanya tidak faham apa maksud sebenar Nik Aziz berkata demikian. Sebab apa saya tidak faham? Sebab pada masa itu saya berpendapat kebangsaan itu adalah suatu 'semangat cintakan negara'. Jadi apa salahnya kebangsaan?

Islam tentu tidak melarang penganutnya mempunyai 'semangat cintakan negara' ? fikir saya. Jadi, Islam dan kebangsaan boleh wujud serentak dalam diri seseorang. Dalam masa sama dia menerima Islam sebagai agama dan cara hidupnya, dan dalam masa sama dia juga ber'semangat cintakan negara' atau bersemangat 'kebangsaan'.

Jadi, kenapa Nik Aziz mengatakan Umno menolak Islam apabila Umno menerima 'kebangsaan' sebagai ideologi? Mungkinkah Nik Aziz kurang memahami istilah 'kebangsaan' atau 'nasionalisme'?

Begitulah fikir saya pada waktu itu. Dan saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia pun tentu berfikir begitu. Tak mengapalah, barangkali Tok Guru Nik Aziz kurang faham dengan istilah 'kebangsaan' atau 'nasionalisme' itu. Tak mengapalah. Maka kita pun kuranglah mengambil kisah sangat apabila Nik Aziz berkata demikian.

Tetapi Nik Aziz mengulangi lagi kenyataannya itu. Dan dia banyak kali mengulang-ulangnya, hingga saya pun terfikir lagi - apakah mungkin Nik Aziz tidak memahami istilah 'kebangsaan', ataupun dia memang ada maksud tertentu yang dia hendak sampaikan supaya orang faham sepertimana yang dimaksudkannya?

Soalan itu menyebabkan saya terus berfikir, dan kemudiannya barulah saya faham apa yang dimaksudkan oleh Nik Aziz. Yakni apabila ia dihubungkan dengan satu lagi perkara yang sering disebut oleh Nik Aziz kebelakangan ini - mengenai semangat perkauman Melayu, Cina dan sebagainya, di mana perkara tersebut tidak ada atau tidak diiktiraf oleh Islam. Tidak ada semangat perkauman dalam Islam. Yang ada hanya semangat Islam, tanpa mengira apa bangsa dan apa keturunan pun dia.

Demikian jugalah dengan semangat atau ideologi kebangsaan/nasionalisme itu. Apabila kita benar-benar memahami dan menerima Islam sebagai cara hidup dan satu-satunya cara hidup kita, yang menjamin kesejahteraan kita di dunia dan akhirat, maka dengan sendirinya tertolaklah apa pun cara hidup yang lain selain Islam. Nasionalisme atau kebangsaan pun menjadi tidak relevan lagi.

Itulah hakikatnya. Tetapi bukan senang orang hendak memahami dan menerima hakikat itu. Nik Aziz sudah berusaha memberi kefahaman itu, dengan dia selalu membuat kenyataan mengatakan Umno menolak Islam dan menerima kebangsaan. Namun orang seperti tak mengambil kesah akan kenyataan yang diulang-ulangnya itu. Nik Aziz pun melangkah lagi selangkah ke depan, dengan menyebut Umno sebagai ajaran sesat.

Maka melentinglah orang Umno mendengar kenyataan yang pahit walaupun benar itu, hingga mereka bertindak membuat laporan polis. Tok Guru Nik Aziz menyambut langkah mereka, dengan membuat tawaran untuk berdebat dengan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. Dia serius. Dia menghantar surat rasmi pada 2 Julai.

Sama ada Najib menerima atau tidak tawaran Tok Guru Nik Aziz itu, sesungguhnya Nik Aziz telah mengambil langkah yang bijak. Bahawa ada sesuatu yang penting, yang perlu diperdebatkan dengan pimpinan Umno. Bahawa ada suatu kesalahan akidah dalam dasar perjuangan Umno. Perkara ini serius, tak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Marilah kita berdepan, untuk mencari penyelesaiannya secara gentleman. Ini perkara akidah. Orang-orang yang berpengetahuan agama dalam Umno, tolonglah bersuara dalam perkara yang sangat penting ini. Cukup-cukuplah bermain dengan hal-hal keduniaan. Ini hal akidah, marilah kita hadapi dengan keinsafan.

Sama ada Najib dan para pimpinan atasan Umno bersedia untuk menghadapi perkara akidah yang serius ini atau tidak, tak mengapa. Kerana selain mereka, ada lagi pihak yang perlu diutamakan, iaitu rakyat yang ramai. Najib dan pimpinan Umno tak mahu berdebat, biarlah mereka. Tetapi rakyat ramai perlukan 'debat' ini. Rakyat ramai perlu disedarkan akan hakikat ini.


sumber : harakahdaily

Tiada ulasan: