Isnin, 20 Julai 2009

Kes Beng Hock: Tubuh Suruhanjaya Bebas diRaja - Nik Aziz


KOTA BHARU, 21 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan bagaimana pembantu kepada anggota Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati ketika menjadi tetamu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Saya cukup tergamam menerima berita penuh misteri di hari pemergian mendiang pada awal petang 16 Julai lalu.



"Lebih tragik apabila bencana yang menimpa mendiang, berlaku sewaktu beliau sedang memberikan kerjasama berhubung satu siasatan," kata Menteri Besar Kelantan dalam satu surat yang kepada dihantar kepada Ibu bapa Beng Hock.


Surat ucapan takziah itu bertarikh 20 Julai di alamat kepada Pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam.



Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, dalam Islam tetamu wajib dihormati dan dilindungi.


Menurutnya tidak boleh sekali-kali timbul sebarang syak terhadap status keselamatan tetamu dalam apa jua keadaan, di mana Islam secara automatik mewajibkan jaminan perlindungan diberi tuan rumah.


"Jaminan perlindungan ini meliputi soal maruah, air muka, keturunan, harta benda dan nyawa. Ini soal hak asasi yang dijamin oleh Islam. Ini konsepnya," katanya.



Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku di Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis lalu membuatnya terkejut.


Oleh itu beliau berharap ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mendiang supaya bersabar dan tabahkan hati sewaktu mengharungi ujian gentir sekarang.



Beliau juga berharap sebuah Suruhanjaya Bebas di Raja perlu ditubuh dalam tempoh terdekat bagi menyiasat kes tersebut secara lebih telus.


"Jika dalam banyak hal kita sering bercakap tentang integriti dan ketelusan, maka inilah ketika untuk membuktikannya," ujarnya.



Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada 16 Julai lalu selepas disoal siasat pegawai agensi terbabit. - mj _


sumber : harakahdaily

Tiada ulasan: